melati putih
Selasa, 13 November 2012
Ahad, 30 September 2012
Perkembangan awal Kanak-kanak
Dari Perspektif Teori
PENGENALAN
Kebanyakan
sistem pendidikan di dunia menekankan kepentingan membina minda yang kreatif
dalam kalangan pelajarnya. Hari ini, kreativiti dan pemikiran asal dikenali
sebagai salah satu faktor penggerak sesebuah negara untuk bersaing di arena
antarabangsa. Sistem pendidikan ini mengenali kepentingan kreativiti dipupuk
dari masa kanak-kanak masih kecil lagi kerana minda mereka belum dibentuk sepenuhnya
oleh persekitaran melalui norma masyarakat dan pembelajaran formal. Kanak-kanak
dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah
semula jadi proses tumbesaran mereka.
A. Teori
Jean Piaget
Jean
Piaget (Rajah 1.1) ialah ahli psikologi dan pendidik. Beliau telah dilahirkan
di Neuchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896 dan telah meninggal dunia pada tahun
1980. Piaget berminat dalam bidang biologi. Sepanjang hidupnya beliau suka
membaca subjek falsafah, sosiologi dan teologi. Akhirnya beliau telah memilih
bidang psikologi, khususnya mengkaji tingkah laku kanak-kanak.
Menurut
Piaget, perkembangan intelektual kanak-kanak tidak bergantung kepada pengajaran
secara langsung orang dewasa. Sebaliknya, perkembangan kanak-kanak bergantung
kepada interaksi antara dua faktor utama iaitu faktor keturunan (baka) dan
faktor persekitaran. Kanak-kanak lahir dengan kebolehan mental semula jadi
untuk belajar.
Piaget
percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui aksi. Interaksi mereka dengan
persekitaran semasa membesar membantu mereka mencipta dengan sendiri tanpa
pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema. Pengetahuan baru sentiasa
menggantikan skema yang lama dalam proses yang dikenali sebagai asimilasi,
akomodasi dan ekuiliberasi. Piaget juga menekankan bahawa perkembangan
intelektual menguasai semua aspek perkembangan yang lain seperti emosi, sosial
dan moral.
Piaget
paling dikenali untuk hujah beliau yang mengatakan bahawa kematangan dari segi
biologi mendahului kebolehan pembelajaran mereka. Ini bermakna, kanak-kanak
harus ada kesediaan dari segi kematangan (biologi) mereka sebelum mereka boleh
melakukan operasi mental. Menurut Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak
dari bayi hingga dewasa adalah melalui empat peringkat konsekutif iaitu:
- Peringkat Sensorimotor: 0-2 tahun
- Peringkat Praoperasi: 2- 7 tahun
- Peringkat Operasi Konkrit: 7- 11 tahun
- Peringkat Operasi Formal: 11 - 15 tahun
Implikasi Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara hands-on, penyediaan persekitaran yang menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting. Persekitaran yang kondusif adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak langsung. Untuk tujuan ini, penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat berguna bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya, penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak sama sekali oleh Piaget.
Jelasnya,
ramai pakar pendidikan psikologi menganggap teori perkembangan Piaget sebagai
hampir sempurna kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak
pandangannya yang bersangkut paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak
manusia. Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa
penerimaan maklumat bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori
dan menukar data itu ke dalam bentuk yang boleh disimpan dan diguna semula
apabila diperlukan. Dengan mempelajari bagaimana otak manusia memproses
maklumat, kita dapat melihat dan mengkaji bagaimana manusia mampu berfikir,
berpersepsi, menterjemah dan mempercayai. Jean Piaget memandang kecerdikan itu
sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana manusia dapat memperoleh
maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea dan pergaulan dengan
orang lain di persekitarannya.
B.Teori Vygotsky
Lev S.
Vygotsky (Rajah 1.2) ialah seorang pakar psikologi Russia yang meninggalkan
andaian yang jelas tentang perkembangan bahasa. Idea utama Lev Vygotsky ialah
kemahiran perkembangan kognitif berlaku di dalam konteks sosiobudaya dan
berkembang di dalam interaksi sosial kanak-kanak.
Lev S.
Vygotsky ialah pengkritik terawal kepada andaian-andaian yang diketengahkan
oleh Piaget. Vygotsky memberi pandangan tentang perkembangan kognitif
kanak-kanak yang cukup berlainan dengan pendapat Jean Piaget. Vygotsky
menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak mengikut tahap-tahap
perkembangan. Sebaliknya, Vygotsky menegaskan bahawa setiap fungsi dalam
perkembangan budaya kanak-kanak muncul dalam dua aras iaitu pada aras sosial
dan pada aras individu.
Teori
budaya-sosial (socio-cultural) menyatakan bahawa kanak-kanak belajar
melalui interaksi sosial dan budaya. Budaya dan masyarakat memainkan peranan
sangat penting di dalam teori Vygotsky. Menurutnya, pengalaman sosial dan
budaya mempengaruhi cara berfikir, dan perkara yang difikirkan. Kanak-kanak
berinteraksi menggunakan bahasa atau dialog dengan ahli-ahli yang lain dalam
masyarakatnya untuk belajar tentang nilai budaya. Kanak-kanak mengembangkan
bahasa mereka melalui interaksi dengan ibu bapa serta rakan-rakan di dalam
budaya mereka.
Beberapa
ciri penting teori ini dijelaskan seperti berikut:
- Tahap pembelajaran atau kematangan mental seseorang kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui scaffolding. Scaffolding merupakan pertolongan atau bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih berpengalaman untuk meningkatkan tahap pembelajaran atau pemikiran kanak-kanak.
- Vygotsky percaya semua orang mempunyai Zone Of Proximal Development (ZPD) iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih tinggi. Potensi ini hanya mampu dicapai melalui proses scaffolding.
- Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh orang dewasa untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.
- Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural tools (seperti bahasa, media, televisyen atau komputer) adalah sangat penting untuk meningkatkan komunikasi, pembelajaran dan pemprosesan pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.
Implikasi
Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru yang mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding dengan membimbing dan memberi tindak balas tentang pembelajaran isi kandungan baru. Guru juga akan menyediakan alat-alat pembelajaran yang bersesuaian dan mencukupi untuk mencapai objektif pengajatan yang efektif.
Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru yang mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding dengan membimbing dan memberi tindak balas tentang pembelajaran isi kandungan baru. Guru juga akan menyediakan alat-alat pembelajaran yang bersesuaian dan mencukupi untuk mencapai objektif pengajatan yang efektif.
Vygotsky
mengutarakan cadangan supaya perkembangan kanak-kanak didasarkan kepada
keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa, sistem nombor dan peta bagi
perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula bergantung kepada pendedahan
mereka kepada pembantu dan persekitaran orang dewasa yang kebiasaannya terdiri
daripada guru-guru dan pengasuh. Ini sangat bermakna terhadap perkembangan
kreativiti, kognitif, sosial dan kemahiran mengawal perasaan.
Pendekatan Teori
Perkembangan Kanak-kanak Piaget dan Vygotsky terhadap Konsep Kreativiti
Walaupun
pendekatan teori Piaget dan Vygotsky terhadap pengajaran dan pembelajaran
berbeza, namun kedua-dua teori ini bersetuju akan kepentingan pembelajaran
melalui discovery learning. Piaget menyarankan pembelajaran penemuan di
mana guru kurang membimbing. Vygotsky pula menekankan bimbingan guru sebagai
faktor utama.
Dalam
konteks perkembangan kreativiti, Piaget dan Vygotsky bersetuju berkenaan
kebaikan bermain dalam mengembangkan kreativiti kanak-kanak. Kreativiti boleh
dirangsang melalui aktiviti bermain. Bagi kanak-kanak, masa bermain merupakan
masa yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Justeru, rangsangan melalui
permainan berbentuk akademik juga perlu diwujudkan. Sebagai contoh, guru boleh
menggalakkan aktiviti seperti aktiviti melukis, menconteng, membuat kolaj, “sandplay”
dan sebagainya.
Apabila
bermain, kanak-kanak menggunakan daya imaginasi ketika bermain. Menurut Piaget
dan Vygotsky, imaginasi terikat kepada cara bagaimana kanak-kanak memahami
dunia persekitarannya dan perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
Murid juga seharusnya diberikan peluang untuk memilih bahan dan alatan yang
boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti bermain dan aktiviti seni.
Oleh itu,
dalam pengajaran dan pembelajaran, adalah berfaedah jika guru menyediakan
aktiviti-aktiviti yang berbentuk permainan untuk mengembangkan kreativiti
kanak-kanak.
C. TEORI
PERKEMBANGAN EMOSI MENURUT ERIKSON
Erik
Erikson (Rajah 1.3) ialah seorang ahli psikososial yang banyak menumpukan
kajian kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Erikson mengatakan
bahawa semua individu melalui lapan peringkat perkembangan yang bersiri dari
hari pertama dilahirkan hingga dewasa. Pada setiap peringkat terdapat
krisis-krisis yang perlu diselesaikan sebelum boleh berkembang ke peringkat
seterusnya. Jika krisis-krisis ini tidak ditangani dengan baik, seseorang
individu akan mengalami kesukaran menangani krisis pada peringkat-peringkat
yang berikutnya.
Peringkat
perkembangan emosi kanak-kanak menurut Erikson adalah seperti berikut:
- Percaya lawan Tidak Percaya
(trust vs mistrust)
Dalam lingkungan usia 0 hingga 18 bulan. Erikson merujuk kepada peringkat ini sebagai peringkat oral-sensori di mana bayi dipengaruhi oleh deria visual dan sentuhan. Perkembangan emosi kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa terutamanya ibu bapa untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi. Peringkat ini dianggap peringkat paling penting kerana ia akan mempengaruhi perkembangan bayi melalui pengalamannya. Peringkat rasa kepercayaan ini dibina dalam tahun pertama dan kanak-kanak membina rasa kepercayaan secara berperingkat. Kanak-kanak akan membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak dapat dipenuhi.
Kepercayaan akan memudahkan seorang kanak-kanak menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup. Rasa percaya akan terus dipupuk jika kanak-kanak itu sentiasa berasa selamat disayangi serta diberi perhatian oleh ibu bapa. Sebaliknya, jika keperluan asas pada peringkat ini tidak dirasai, ketidakpercayaan akan menghalang atau melemahkan bayi dalam mengatasi kesulitan hidup dan kanak-kanak akan membesar dengan rasa kecewa, tidak percaya dan ragu-ragu kepada semua orang disekelilingnya. - Otonomi lawan Rasa Malu (autonomy
vs shame)
Dalam lingkungan usia 18 bulan hingga 3 tahun. Pada ketika kanak-kanak berumur 18 bulan, konsep kendiri kanak-kanak mula bertambah. Kanak-kanak mula mengetahui apa yang disebut. Pada peringkat ini kanak-kanak meningkatkan kemahiran berdikari dari segi belajar berjalan, bercakap, makan dan menggunakan tandas. Mereka membina konsep kendiri dan autonomi melalui kemahiran mengawal pergerakan motor kasar. Kebolehan membezakan perlakuan yang betul dan salah juga turut berkembang. Keinginan memiliki kuasa dan keinginan untuk melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri juga turut berkembang. Kanak-kanak akan berasa malu jika tidak diberi kuasa atau merasakan dirinya kurang cekap. Sebaliknya, keyakinan kanak-kanak akan dapat dipupuk apabila dipuji.
Pada peringkat umur ini, kanak-kanak akan merasa takut jika melakukan kesalahan. Tingkah laku yang tidak diingini hendaklah dikawal supaya kanak-kanak tidak merasa malu. Tingkah laku yang positif dan yang diingini juga patut dipuji. Cara ini akan membantu kanak-kanak mengenal dan membezakan jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan dan yang perlu dielakkan.
Pada peringkat ini, jika kanak-kanak dimalukan atau dihalang daripada melakukan aktiviti, perasaan malu akan timbul. Rasa malu ini boleh membuatkan kanak-kanak meragui kebolehannya sendiri, dan mengakibatkan wujud konsep kendiri yang rendah. - Inisiatif lawan Rasa
Bersalah (initiative vs guilt)
Dalam lingkungan usia 3 hingga 5 tahun. Peringkat ini dipanggil peringkat bermain di mana kanak-kanak cuba meniru tingkah laku orang dewasa melalui proses bermain. Kanak-kanak menggunakan inisiatif dan imaginasi mereka untuk mencipta pelbagai situasi permainan dan memainkan peranan sebagai orang dewasa. Dengan cara ini kanak-kanak belajar berbagai kemahiran yang menunjukkan keupayaan menggunakan imaginasi seperti bekerjasama dan memimpin.
Proses ini juga menggalakkan perkembangan kemahiran menyelesaikan masalah, mencari maklumat baru dan membentuk konsep yang berkaitan dengan peranan jantina. Pada peringkat ini, jika kanak-kanak sentiasa diperlakukan supaya rasa bersalah, mereka akan rasa kecewa, takut dan terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini akan mewujudkan keadaan yang kurang membina kemahiran kreativiti, bermain dan aktiviti yang melibatkan imaginasi.
Oleh itu
Erikson menegaskan bahawa kanak-kanak perlu digalakkan menjelajah, beraksi dan
melakukan aktiviti untuk mendapatkan kepuasan emosi. Jelasnya, kanak-kanak
dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah
semula jadi proses tumbesaran mereka. Pada peringkat 1 hingga 3 tahun
kanak-kanak gemarkan aktiviti melukis dan mewarna. Ini kerana aktiviti ini
dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat
lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap
pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya
sensitiviti pancaindera dan lukisan yang dihasilkan berfungsi sebagai alat
komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.
D. TEORI KECERDASAN
PELBAGAI
Howard
Gardner (1983), merupakan orang yang bertanggungjawab mengasaskan teori
kecerdasan pelbagai. Beliau merupakan seorang ahli psikologi Jerman terkenal
dan berpengaruh dari Universiti Havard. Gardner (1983) menyatakan bahawa
manusia mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan dan pada tahun 1999
Gardner menyatakan bahawa semua ada satu lagi kecerdasan iaitu Kecerdasan
Spiritual.
Gardner
percaya semua jenis kecerdasan ini bekerjasama secara kompleks, berkembang
melalui pendidikan, pengalaman dan persekitaran yang bermakna dan kecerdasan
tersebut boleh dipelajari, dibentuk, ditingkatkan dan sentiasa berubah
sepanjang hayat.
Beberapa
prinsip penting Teori Kecerdasan Pelbagai ialah seperti berikut:
- Kecerdasan pada asasnya adalah diwarisi turun temurun tetapi boleh ditingkatkan melalui pembelajaran dan pengajaran.
- Setiap individu mempunyai kombinasi 9 kecerdasan yang dipanggil profil kecerdasan yang berbeza bagi setiap individu.
- Setiap individu mempunyai kebolehan membangunkan kesemua kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
- Semua kecerdasan adalah bersifat dinamik yang boleh dikenal pasti dan dinyatakan dengan jelas jika setiap individu mendapat peluang untuk mengenal dan membangunkan kepelbagaian kecerdasannya.
- Latar belakang peribadi
menjadi faktor penting dalam membentuk dan mengembangkan pengetahuan,
kepercayaan dan kemahiran dalam semua jenis kecerdasan.
Setiap individu mempunyai adunan kecerdasan yang unik, sentiasa berubah, kecerdasan antara individu itu adalah berbeza dari segi perkembangannya.
Teori Kecerdasan Pelbagai
Dan Perkembangan Kreativiti Kanak-kanak
Gardner (1993)
menganggap semua kanak-kanak berpotensi berfikir secara kreatif. Pada peringkat
awal, kanak-kanak sentiasa melintasi sempadan-sempadan norma ketika asyik
bermain atau apabila tekun melakukan sesuatu aktiviti.
Menurut
Gardner (1999), kreativiti kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui cara-cara
berikut:
- Pendedahan awal kepada individu lain yang selesa mengambil risiko dan yang tidak mudah mengalah.
- Memberi peluang untuk cemerlang dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti atau bidang yang diceburi.
- Menyediakan persekitaran yang sentiasa mencabar supaya murid sentiasa berada pada tahap kecemerlangan.
- Membentuk hubungan dengan rakan sebaya yang rela diuji dan tidak takut gagal.
- Menyediakan persekitaran keluarga yang menggalakkan atau mewujudkan hubungan toleransi terhadap sifat kanak-kanak yang gemar mencabar autoriti.
Aktiviti Kreativiti Dan
Estetika Yang Membantu Perkembangan Kecerdasan Pelbagai
Unsur-unsur
Kreativiti Dan Estetika adalah terdiri daripada elemen asas yang penting dalam
menghasilkan sesuatu yang mempunyai unsur kreatif. Guru boleh melaksanakan
aktiviti berikut untuk mengembangkan pelbagai kecerdasan murid.
- Membentuk Garisan
Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual (lihat Rajah 1.6). - Melakar bentuk atau rupa
Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya. - Membentuk
Bentuk lazimnya merujuk kepada struktur jisim dan isi padu. Terdapat dua jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat tiga dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan berkomputer 3 dimensi. - Jalinan
Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai melalui sentuhan. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. - Warna
Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. Warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.
|
||||||||||||||||
|
Langgan:
Catatan (Atom)