Konsep Tatabahasa


i. Secara amnya tatabahasa merupakan asas untuk melahirkan sesuatu bahasa yang indah dan mudah difahami oleh penggunanya. Dengan itu, sesuatu bahasa itu akan dapat dieksploitasikan untuk membentuk dan mewujudkan gaya dan laras bahasa yang tersendiri kepada bahasa tersebut. Untuk itu, setiap tatabahasa itu haruslah tepat, lengkap, lugas, tuntus dan mudah difahami serta dapat mencerminkan kebolehan dalaman penutur jati yang ideal. Tatabahasa sebenarnya sebagai rujukan kepada peraturan atau hukum sesuatu bahasa. Dengan adanya tatabahasa akan menentukan sesuatu bahasa itu dapat berfungsi dengan baik, berkesan, atau sebaliknya. Oleh itu dengan perkataan lain, tatabahasa merupakan suatu himpunan peraturan umum struktur bahasa yang meliputi bidang morfologi dan sintaksis.
Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu oleh Nik Safiah Karim (1996), mentarifkan bahasa itu terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Manakala penyelidikan terhadap tatabahasa biasanya dilakukan dari dua segi, iaitu dari segi cara perkataan dibentuk daripada bunyi-bunyi bahasa, dan dari segi cara perkataan- perkataan ini disusun menjadi ayat.
Terdapat beberapa pandangan yang berkaitan definisi tatabahasa ataupun dahulunya dekenali sebagai nahu. Menurut Awang Sariyan dalam tulisanya Ceritera Bahasa (2002), secara ringkas menyatakan tatabahasa adalah peraturan yang membina bentuk-bentuk bahasa ( kata, frasa, dan ayat ) yang betul bagi sesuatu bahasa tertentu. Peraturan atau tatabahasa ini lah yang menentukan salah betulnya sesuatu bentuk bahasa yang dilahirkn oleh penuturnya, baik dalam lisan mahupun tulisan. Manakala mengikut pandangan Abdullah Hassan dalam tulisanya bertajuk Tatabahasa Pedagogi Sekolah Menengah (2008) mendifinasikan tatabahasa sebagai suatu susunan perkataan yang menjadi ayat. Cara-cara perkataan ini dibina dan kemudiannya disusun dalam ayat yang juga mempunyai makna. Cara-cara inilah dikatakan sebagai tatabahaasa.
Bagi pandangan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam tulisannya Menurut Siti hajar (1996), mengertikan tatabahasa sebagai peraturan-peraturan bagaimana perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan-perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasilkan ayat-ayat yang gramatis. Dengan pengertian lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklaifikasian unsur-unsur ucapan menurut fungsinya.
Konsep tatabahasa sebenarnya berpandukan kepada definisi-definisi di atas. Tatabahasa sebenarnya merupakan satu cabang daripada linguistik umum yang menerangkan peraturan-peraturan atau hukum sesuatu bahasa. Penggabungan kata-kata untuk
menghasilkan bunyi dan frasa adalah berpandukan kepada definisi tatabahasa tersebut. Untuk itu tatabahasa adalah berpandukan kepada dua, iaitu morfologi dan sintaksis yang mana akan membentuk sesuatu bahasa. Morfologi adalah istilah ilmu linguistik bidang huraian pada peringkat perkataan. Manakala sintaksis pula menerangkan bidang huraian pada peringkat ayat.
Morfologi berkait rapat dengan pembentukan perkataan dalam bahasa. Morfologi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu imbuhan, perkataan dan bentuk perkataan. Imbuhan adalah unit-unit bahasa tertentu yang ditambah pada bentuk-bentuk lain bagi membentuk perubahan makna nahu sesuatu perkataan, ini bermaksud ianya akan membawa suatu makna yang lain kepada sesuatu perkataan apabila ditambah imbuhan. Imbuhan terbahagi kepada imbuhan awalan, akhiran, sisipan, apitan, morfem kosong dan bentuk fleksi. Manakala perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna, yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi bahasa. Perkataan ini terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk, dan kata ganda. Bentuk perkataan pula adalah bentu kata yang boleh terdiri daripada satu morfem atau sesunan beberapa morfem. Antaranya, bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk, dan bentuk kata ganda.
Berpandukan morfologi, dapat dijelaskan bahawa ianya adalah bidang bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Jika dilihat, penggolongan kata pula ialah suatu proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Justeru itu, morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata dalam sesuatu bahasa.
Unit-unit tatabahasa pula yang menjadi unsur perkataan disebut morfem. Morfem adalah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu. Sebagai kata lain sesuatu perkataan itu terbentuk daripada satu morfem atau lebih. Morfem pula boleh bersifat bebas atau terikat, iaitu morfem bebas dapat wujud dengan bersendirian. Sebaliknya, morfem terikat pula ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Ini menjelaskan bahawa proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu.
Selain morfologi, peringkat susunan binaan yang amat pentig kepada pembentukan tatabahasa apa jua bahasa adalah sintaksis. Mengikut Kamus Tatabahasa Dewan keluaran
(1996) mentakrifkan sintaksis sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis juga dinyatakan sebagai suatu kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa. Untuk itu sintaksis sebenarnya suatu kaedah yang mengkaji struktur binaan ayat ,iaitu proses pembentutan ayat dalam sesuatu bahasa yang dikenali sebagai binaan atau konstruksi.
Selain itu, sintsksis mengkaji pembahagian subjek dan predikat, yang mengkaji kecekapan berbahasa atau daya pengetahuan untuk mengetahui atruktur unsur atau struktur konstituen setiap ayat dalam sesuatu bahasa. Bagi ayat dasar dan ayat terbitan, sintaksis bertindak menentukan kesemua ayat yang terbentuk masih tetap mematuhi dan pasti berasal daripada satu ayat dasar, iaitu pola ayat yang menjadi sumber kepada pembentukan atau terbitan semua ayat yang lain dalam sesuatu bahasa. Selain itu, sentaksis juga mengkaji setiap susunan dalam ayat, urutan kata, perpindahan kata, ragam ayat iaitu kejadian ayat aktif dan ayat pasif serta jenis-jenis ayat yang terdiri daripada empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan.
Secara kesimpulanya jelas menyatakan bahawa konsep tatabahasa adalah berkaitan satu cabang linguistik umum yang menerangkan tentang hukum dan peraturan-peraturan bahasa. Tatabahasa bermula daripada unsur-unsur yang membina perkataan, proses pembentukan perkataan dan proses penyusunan perkataan dalam membentuk ayat-ayat gramatis. Secara lazimnya tatabahasa bersifat preskriptif, iaitu terdiri daripada peraturan-peraturan dan undang-undang bagi pengucapan dan penulisan bahasa yang betul. Dengan adanya peraturan atau undang-undang ini akan menentukan bahasa itu berfungsi dengan baik, berkesan atau sebaliknya. Untuk itu tatabahasa merupakan kajian atau analisis perkaitan yang meliputi bidang morfologi san sintaksis. Morfologi adaah bidang yang mngkaji cara-cara perkataan itu dibentuk hasil daripada bunyi-bunyi bahasa. Manakala sintaksis pula merupakan suatu bidang yang mengkaji cara sesuatu perkataan itu disusun menjadi ayat.
ii. Kesalahan dalam Penggunaan Kata Hubung.
Kata hubung ialah kata penyambung ayat, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk. Dengan kata lain kata hubung ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa, atau klausa dengan klausa dalam ayat gabungan atau ayat pancangan. Kata hubung terbahagi kepada dua iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan. Contoh kata hubung gabungan ialah dan, atau, tetapi, serta, lalu, malahan, sambil dan kemudian. Manakala contoh kata hubung pancangan ialah yang (relatif), bahawa dan untuk (komplemen), kerana, sekiranya, kalau, sementara, ketika, walaupun, agar, semoga, tatkala, meskipun, supaya, untuk, dan apabila (keterangan) .
Kesalahan penggunaan kata hubung gabungan sering terjadi apabila pelajar tidak memahami cara menggunakan kata hubung itu dengan tepat dalam ayat. Antara kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan adalah :-
1. Ahmad berdiri lantas memberikan jawapan. (salah)
Ahmad berdiri lalu memberikan jawapan. (betul)
2. Aminah lulus ujian itu dan adiknya gagal. (salah)
Aminah lulus ujian itu tetapi adiknya gagal. (betul)
3. Bukan Pak Abu sahaja yang pemurah tetapi anaknya juga dermawan. (salah)
Bukan Pak Abu sahaja yang pemurah malahan anaknya juga dermawan. (betul)
Analisis kesalahan.
Kesalahan ayat pertama berkaitan kata lantas bukan kata hubung. Sepatutnya kata lalu digunakan. Ayat kedua kata dan adalah tidak sesuai kerana hubungan antara ayat pertama dan ayat kedua tidak jelas oleh itu kata hubung dan lebih sesuai digunakan. Ayat ketiga mempunyai perhubungan antara dua ayat. Kata tetapi tidak sesuai digunakan kerana kata tetapi sepatutnya menunjukkan sesuatu perbandingan dalam ayat.
Kesalahan penggunaan kata hubung pancangan juga sering dikesan penggunaannya oleh pelajar. Antara kesalahan-kesalahan yang berlaku adalah:-
Kata hubung pancangan relatif
1. Rumah telah dibina itu kepunyaan ayah saya. (salah)
Rumah yang dibina itu kepunyaan ayah saya. (betul)
Kata hubung pancangan komplemen
2. Guru itu menyatakan yang muridnya sangat rajin. (salah)
Guru itu menyatakan bahawa muridnya sangat rajin. (betul)
Kata hubung pancangan keterangan
3. Salmah menangis bila mendengar berita sedih itu. (salah)
Salmah menangis apabila mendengar berita sedih itu. (betul)
Analisis kesalahan.
Kesalahan kata telah dalam ayat kata hubung relative jelas kerana kata telah merupakan kata bantu. Manakala dalam ayat kedua pula, kata bahawa adalah lebih sesuai kerana ianya berfungsi menghubungkan klausa ayat ‘murid sangat rajin’ dengan klausa utama, ‘guru itu menyatakan’. Kesalahan ayat ketiga kerana kata bila adalah kata tanya yang jelas bukan kata hubung.
Kesalahan dalam Penggunaan Kata Tanya.
Kata Tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu, contohnya mengapa, berapa, bila, dan bagaimana. Kata Tanya hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat. Namun sekiranya kata Tanya dikehadapankan maka kehadiranya hendaklah disertai partikel –kah .Selain itu terdapat tiga bentuk kata ganti nama yang digunakan juga sebagai kata Tanya, iaitu apa, siapa, dan mana.
Kesalahan penggunaan Kata Tanya sering berlaku apabila partikel –kah tidak digunakan. Selain itu terdapat juga kesalahan kepada kata apa dan siapa . Antara kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan adalah :-
1. Berapa harga barang itu ? (salah)
Berapakah harga barang itu ? (betul)
2. Bila awak akan berangkat ke London ? ( salah)
Bilakah awak akan berangkat ke London ? (betul)
3. Nama kucing ini siapa ? (salah)
Nama kucing ini apa ? (betul)
4. Apakah nama gadis bertudung merah itu ? (salah)
Siapakah nama gadis bertudung merah itu ? (betul)
Analisis kesalahan.
Kesalahan ayat pertama dan kedua berlaku kerana kata tanya yang digunakan tidak disertai dengan partikel –kah. Seharusnya kata tanya yang dikehadapankan perlu mempunyai partikel –kah. Manakala bagi ayat ketiga dan keempat, kesalahan berlaku apabila penggunaannya adalah tidak tepat kerana kata tanya apa dan siapa digunakan untuk sesuatu yang berlainan. Kata tanya apa hanya boleh digunakan untuk menanyakan nama benda atau binatang. Manakala kata tanya siapa pula hanya untuk menanyakan nama manusia.
Kesalahan dalam Penggunaan Kata Bilangan
Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis mengikit ciri maknanya iaitu kata bilangan tentu ( bilangan kardial ), kata bilangan tak tentu, kata bilangan himpunan, kata bilanagan pecahan dan kata bilangan berpasangan dan sebagainya.
Kesalahan penggunaan kata bilangan sering terjadi kepada kata bilangan tak tentu. Antara kesalahan yang dapat dikesan :-
1. Semua murid-murid tidak dibenarkan membawa barang berharga ke sekolah. (salah)
Semua murid tidak dibenarkan membawa barang berharga ke sekolah. (betul)
2. Kem motivasi itu melibatkan para guru-guru sekolah sekitar Segamat. (salah)
Kem motivasi itu melibatkan para guru sekolah sekitar Segamat. (betul)
Selain itu terdapat juga kesalahan yang dikesan pada penggunaan kata tentu. Contohnya
3. Sudah satu suku jam Abu menunggu ibunya di hadapan sekolah. (salah)
Sudah satu jam suku Abu menunggu ibunya di hadapan sekolah. (betul)
Analisis kesalahan.
Kesalahan ayat pertama dan kedua, disebabkan perkataan itu sudah menandakan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu diulang. Manakala kesalahan bagi ayat keempat, kata bilangan tentu seperti satu, dua dan seterusnya tidak boleh hadir berdekatan dengan kata bilangan pecahan.
Kesalahan dalam Penggunaan Kata Sendi
Kata sendi ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi yang digunakan termasuklah, di, ke, dari, daripada, kepada, pada bagi, akan, antara dan sebagainya. Berikut merupakan beberapa kesalahan yang dikesan, antaranya:-
1. Samad berasal daripada Pulau Pinang. (salah)
Samad berasal dari Pulau Pinang. (betul)
2. Laporan itu hanya sampai ke pihak polis. (salah)
Laporan itu hanya sampai kepada pihak polis. (betul)
3. Kambing-kambing itu beratur pulang ke kandang di waktu petang. (salah)
Kambing-kambing itu beratur pulang ke kandang pada waktu petang. (betul)
Analisis kesalahan.
Kesalahan ayat pertama adalah kerana kata daripada tidak boleh digunakan untuk menunjukkan tempat dan waktu. Sebaliknya penggunaan kata sendi kata daripada hanya boleh digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, dan untuk menunjukkan keanggotaan. Kesalahan ayat kedua dan keempat, kata sendi nama kepada seharusnya terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia dan haiwan. Dalam ayat ketiga kesalahan berlaku kerana kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu ataupun masa.
Secara keseluruhannya, kesalahan penggunaan tatabahasa di kalangan pelajar sering berlaku disebabkan kurangnya pemahamam mereka kepada cara penggunaan yang tepat dan betul.
( 1084 patah perkataan )
RUJUKAN.
Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood(1996).
Tatabahasa Dewan, Ampang/ Hulu Kelang, Selangor. Percetakan Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
Pusat Pendidikan Luar (2011), KRB 3033 Pengantar Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan
Sultan Idris. Tanjong Malim, Perak.
Awang Sariyan (1986). Kunci Bahasa Malaysia.Petaling Jaya, Sasbadi Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan ( 1993 ), Tatabahasa Pedagogi. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd
Abdul Hmid Mahmood (1992). Ayat Pasif Bahasa Melayu Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan